Maqam Zikir



Dan daripada Zikir serta Hudur kepada Zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkur(TuhanNya yakni Allah) hingga masuklah orang yang Zikir Allah ke dalam MazkurNya dan ghaib Sirnya tatkala ZhuhurNya(Nyata Allah). Maka adalah ghaib Zikirnya dengan Zikirnya.

Keterangan Suluk (Tingkatan Zikir Keempat/Maqam Kesempurnaan)

Setelah melalui hal-ahwal atau Maqam Zikir serta Hudur atau disebut juga sebagai “Zikir Sir”, seorang hamba dengan limpah kurnia Allah akan diipndahkan pula kepada Zikir Yang Ghaib dalam MazkurNya atau disebutkan juga sebagai “Ghaib Zikirnya dalam Zikir” atau “Zikir dengan Mazkur” pada pihak hilang atau ghaib diri/hati yang berzikir dalam Hakikat Zikir iaitu Allah. Maqam ini adalah merupakan puncak atau tingkat tertinggi bagi mereka yang seakan mabuk dengan TuhanNya Yang Ampunya Zikir. Keadaan ini digelar juga Fana dalam Fana di mana hilang segala rusum dan isyarat. Apa yang wujud ialah Wujud Yang Hakiki yakni Allah semata-mata.

Dari keterangan dan perbincangan seperti yang telah disentuh sebelum ini, sekiranya kita dapat menangkapi kefahamannya, jelaslah bahawa bagi setiap tingkat Zikir itu menunjukkan hal-ahwal hati/diri atau yang menyatakan Maqam kedudukan hamba dengan TuhanNya. Sebagai merumuskannya, Tok Pulau Manis mendatangkan keterangannya yang seterusnya sebagaimana berikut;

Keterangan oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)

Dan pada ketika itu

* dalam Zikir Lisan itu Maqam orang orang yang ahli Ghoflah daripada segala orang awam.

* Dan Maqam Zikir Lisan dengan jaga Qalbi itu Maqam orang yang Ahli Suluk.

* Dan Maqam Zikir Dalam Hadirat Mazkur itu Maqam Al-Khowas

* Dan Maqam Al-Ghaib Dalam Mazkur dari pada Zikir itu Maqam Khowasul-Khowas, orang yang alhi Fana ‘An Fana.

Maka adalah sentiasa Zikir itu atas kata “Laa ilahaillaLlah” serta ikhlas itu sebab bagi menjagakan anggota daripada wujud ghoflah serta Zikir.

Dan Zikir “Allah.. Allah” itu sebab bagi mengeluarkan engkau daripada jaga dalam Zikir kepada wujud Hudur serta Mazkur.

Dan Zikir “Hu Hu” itu sebab bagi mengeluarkan engkau daripada tiap-tiap barang yang lain daripada Mazkur.

Dan kata setengah mereka itu (Kaum Sufiah);

* bermula yang membukakan Qalbu itu (ialah) kata “Laa ilahaillaLlah”;

* dan yang membukakan Ruh itu (ialah) “Allah..Allah”

* dan yang membukakan Sir itu ialah “Hu Hu”.

* Dan “Laa ilahaillaLlah” itu makanan Qalbu dan

* “Allah..Allah” itu makanan Ruh dan

* “Hu Hu” itu makanan Sir.

Keterangan Suluk

Keterangan Tok Pulau Manis di atas menunjukkan kepada akan Maqam orang-orang yang berzikir serta lafaz-lafaz Zikir mengikut tingkatan kedudukan mereka di samping menyatakan tujuan-tujuan lafaz zikir tersebut mengikut peringkat-peringkatnya.

Apa hal pun guru suluk memberi peringatan bahawa, tidaklah patut bagi mereka yang berada pada maqam-maqam yang terkebawah mengamalkan zikir-zikir Maqam yang di atasnya. Umpama seorang awam yang ahli ghoflah…kerana terlalu ingin cepat sampai kepada Maqam tertinggi meninggalkan Zikir Lisan dan terus berzikir dengan Zikir Sir iaitu “Hu Hu”. Bandingannya seperti seorang yang memakai pakaian orang lain yang tidak sepadan/sepatutnya dengan saiz tubuhnya. Baju atau jubah yang saiznya besar jika dipakaikan pada tubuh yang kecil, maka akan tampaklah kejanggalannya. Bukankah ini satu amalan atau usaha perbuatan yang menunjukkan “kurang berakalnya” si pemakai. Menunjukkan amalan atas dorongan nafsu semata-mata dan biasanya ia tak akan bertahan lama(tidak istiqamah).

Apa yang perlu dan patut dilakukan ialah tetap pada halnya atau maqamnya dan melaksanakan hak dan adab-adab hal atau maqam tersebut di mana mereka menetap/duduk sehinggalah mereka diperintahkan untuk berpindah kepada maqam-maqam yang lain. Inilah sebahagian kecil daripada adab-adab bagi mereka yang berzikir.

Keterangan oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)

Dan kata setengah mereka itu (Kaum Sufiah); bermula segala orang yang Zikir itu atas lima martabat.

* Pertama – Yang dizikir dengan lisan tiada dengan Qalbi.

* Kedua – Yang dizikir dengan Qalbi tiada dengan Lisan.

* Ketiga – Yang zikir dengan Aqal.

* Keempat – Yang zikir dengan Sir

* Kelima – Yang Zikir dengan Mazkur.

Keterangan Suluk

Pandangan dari setengah kaum sufiah di atas memperihalkan martabat-martabat Zikir dengan pecahan yang lebih detail lagi. Ada terselit satu martabat yang tidak disentuh lagi oleh keterangan Tok Pulau sebelum ini iaitu pada Martabat Kedua – Zikir Qalbi tiada dengan Lisan.

Menurut keterangan guru suluk, sesiapapun boleh mengamalkan dan mendawamkan Qalbi ini yang khofi/tersembunyi ini. Itu pun jika setelah mereka sentiasa melaksanakan Zikir Lisan pada Martabat yang pertama. Ini adalah kerana, zikir ini sesuai sekali untuk melatih hati supaya sentiasa ingatkan Allah di samping dapat mengelakkan sifat Riya.serta dapat menjinakkan hati supaya Hudur Hati sewaktu melaksanakan Zikir Lisan.

Demikian juga dengan Zikir dengan Aqal pada martabat ketiga. Ianya amat dituntut sekali pada seorang hamba supaya melaksanakannya. Zikir Aqal bermaksud ialah menggunakan aqal kita untuk berfikir kepada perkara-perkara yang boleh menambahkan amal perbuatan, mendekatkan diri dengan Allah, membesarkan kejadian Allah yang dilihat, memikirkan keaiban dan kejahatan diri/amalan kita serta apa sahaja yang boleh membawa kesedaran kita untuk mengingati Allah. Di lain-lain tempat Zikir serta Aqal ini dikatakan sebagai Tafakur. Kiranya anda seorang yang mengetahui, sesungguhnya di sebalik Tafakur ini, tersimpan salah satu khazanah rahsia orang-orang Sufi yang menghimpunkan kedudukan Ilmu dan hal-ahwal mereka.

Berkaitan dengan “Zikir Sir” dan “Zikir dengan Mazkur” ianya adalah suatu hal yang merujuk kepada sifat hati yang hidup dengan limpahan Cahaya Ketuhanan; yang bebas tanpa kawalan pancaindera; tanpa usaha dan ikhtiarnya; yang hidup zikir itu dengan sendirinya sebagai satu anugerah kurnia dari Allah bagi hamba-hamba pilihannya. Semuanya ini adalah tidak sukar bagi Allah seperti mana keterangan Tok Pulau Manis yang berikutnya.

Keterangan oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)

Firman Allah yang bermaksud; “Dan tiada yang demikian itu atas Allah Taala sukar” dengan KuatNya dan KuasaNya yang tiada terhenti pekerjaanNya atas sesuatu kerana Ia jua

* Yang Ghoni(Memiliki Kekayaan) lagi Karim(Pemurah);

* Yang Menganugerahi barang yang diKehendakiNya;

* dan tiada yang menegahkan dalam QudratNya

* dan tiada yang jauh daripada KaramNya.

Hanyasanya atas hamba itu Asbab dan atas Allah Yang Membukakan “bab” (pintu kurniaNya).

Dan yang demikian itu(Lima Martabat Zikir di atas) bagi mengisbatkan(menyabitkan) Hikmah dan Zhuhur(kenyataan) Ubudiyah(Kehambaan) dengan Ibadat.

* Dan tiada ibadat melainkan dengan Fadhol(limpah kurnia)Nya;

* dan tiada Zikir melainkan dengan RahmatNya;

* dan tiada Tawajjuh(berhadap hati) kepadaNya melainkan dengan KurniaNya.

Maka iaitu(Allah) Yang Mengurniai (orang) yang zikir dengan TaufiqNya; maka diTunjukiNya bagi JalanNya; maka diBukakan bagi(hamba)nya dengan anugerahNya.

Keterangan Suluk

Dari segi pandangan hakikat, seorang hamba yang dapat berzikir itu adalah kerana adanya limpah kurnia dari Allah Taala dan tidak sepatutnya seorang itu mendakwa bahawa kemampuan ia boleh memanjat ke tingkat-tingkat Zikir yang tinggi adalah kerana hasil usaha ikhtiar dari penat lelahnya bermujahadah. Namun begitu tingkat-tingkat yang tersusun itu dibeza-bezakan sebagai mensabitkan Hikmah Allah dan penyataan pembuktian seorang hamba dengan melaksanakan pelabagai ibadat terhadap TuhanNya.

Dengan itu, sebagai adab kehambaan(Ubdudiyah) seorang hamba itu perlu bersungguh-sungguh membiasakan lisan mereka dan hati mereka dengan beribadat, berzikir dan bertawajjuh kepadaNya. “Allah tiada memberati manusia melainkan sekadar tenaganya. Baginya (pahala) kebajikan yang diusahakannya dan di atasnya (dosa) kejahatan yang diperbuatnya”(Al-Baqarah: 286);

Dan apabila mereka dapat melaksanakannya dengan baik dan sempurna, maka wajib dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh pula Adab Ketuhanan iaitu dengan disyuhudkan(dipandang) bahawa amal ibadat dan semua perbuatan mereka adalah dengan taufiq, dan limpah kurnia Allah Taala. “Dan bermula Allah itulah yang menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu perbuatkan” (Surah As-Shofat: 96). “Dan tiada engkau melempar ya Muhammad tatkala engkau melempar tetapi Allah Taala jua yg melempar” (Surah Al-Anfal: 17)

Dengan melaksanakan Hak Kehambaan dan Hak Ketuhanan ini, mudah-mudahan Allah akan membukakan/menghidupkan “Sir” mereka untuk meneroka lautan makrifatullah yang tiada terhad.

Advertisement

About Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

4 Responses to Maqam Zikir

  1. yahya berkata:

    Salam

    Alhamdulilah bertemu dengan laman web ini .Didoakan semoga penerbit web ini akan mendapat Berka dan Rahmat dari ALLAH SWT,Amin.
    Mohom copy untuk amalan harian.
    Tkns

  2. AHMAD NAZRI berkata:

    tq ya hamba allah…..semoga amalan kita diterimanya…..

  3. zulkifli Anwar Husein berkata:

    Assalam wr wb,
    Pemilik Laman,
    Salam Sejahtera

    Alhamdulilahirobbilalamin, kami menyukai laman web ini . Semoga penerbit web ini akan mendapatkan Rahmat dan Karunia dari ALLAH SWT,Amin.
    Mohon ijin mengcopy naskah/artikel zikir ini.
    Terima kasih
    wassalam wr wb.

  4. Ardi berkata:

    apa arti SIR….?
    apa arti huu…?
    dan apa benar Allah berada lebih dekat dari urat leher kita….? kalau ia di mana Allah
    trimakasaih………….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s