Solat sunat hari raya Aidil Fitri

Solat Aidilfitri adalah sunat Muakkad (sangat digalakkan) dan disyariatkan oleh Allah SWT pada bulan Syawal, tahun pertama Hijrah. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat terus melakukannya selepas itu.

Solat sunat Aidilfitri dilakukan antara waktu setelah terbit matahari sehingga sebelum tergelincir matahari. Ia disyari’atkan berjamaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba, sama ada di surau, masjid ataupun dilapangan yang terbuka.

Adalah lebih afdal, jika dilakukan secara berjemaah dan sesudahnya dibacakan dua Khutbah. Walaubagaimana pun, ia boleh dilakukan secara bersendirian.

Solat sunat Aidilfitri hendaklah dilambatkan sedikit, sedangkan solat hari raya korban perlu disegerakan. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.

A.Tujuan

Tujuan bersolat pada Hari Raya ini ialah untuk mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana telah memberi peluang kepada umat Islam berpuasa selama sebulan, pada bulan Ramadhan yang penuh berkat disamping dapat memperbanyakkan ibadah kerana pada bulan ini Allah SWT melipat gandakan pahala ibadah serta dipermudahkan-Nya ibadah dengan pengurungan syaitan.

Umat Islam juga berpeluang berkumpul dan memuji Allah SWT. Setelah beribadah selama sebulan meminta ampun kepada Allah, maka tibalah masa untuk meminta ampun sesama manusia pula. Pertemuan di majlis seumpama ini, membolehkan masing-masing saling bermaaf-maafan dan mempereratkan tali silatul-rahim sesama Muslim.

Sunat memperbanyak lafaz takbir pada malam dan sepanjang Hari Raya Fitri

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَر أللهُ أَكْبَر وَِللهِ الْحَمْدُ . اللهُ أَكْبَر كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهً وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْن . لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ

C. CARA SOLAT AIDIL FITRI

Para ulama telah ijma’ tentang cara-cara solat hari raya berdasarkan hadith;

“Amru bin ‘Auf Al-Muzani RA meriwayatkan Nabi SAW bertakbir ketika solat dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) , pada rakaat yang pertama sebanyak 7 kali sebelum membaca Fatihah dan pada rakaat yang akhir sebanyak 5 kali sebelum membaca Fatihah.”

D. Cara Perlaksanaan Solat Aidil Fitri

Niat: أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

1. Pada rakaat pertama:

a. Selepas Takbiratul-ihram dan doa Iftitah, bertakbir (اَلله ُ اَكْبَرُ) tujuh kali yang diselangi tasbih:

b.Setelah bertakbir dan bacaan tasbih ke-tujuh, bacalah surah al-Fatihah dan surah pilihan.

c.Lakukan rukun seterusnya seperti solat biasa.

2. Rakaat ke-dua:

a. Bertakbir lima kali, diselangi tasbih seperti rakaat pertama.

b. Disambung dengan bacaan al-Fatihah dan surah pilihan.

c. Teruskan sebagaimana solat yang lain sehingga selesai salam ke-dua.

E. Khutbah Solat Aidilfitri

Imam memperdengarkan Khutbah tentang zakat fitrah dan pengertian sambutan Aidilfitri sesudah solat di samping membacakan berturut-turut takbir (اَلله ُ أَكْبَرُ) Allahu Akbar;

1. Pada pendahuluan khutbah pertama – 9 kali takbir.

2. Semasa memulakan khutbah ke-dua – 7 kali takbir.

Diikuti dengan bacaan:

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَالله ُ أَكْبَرُ، اَلله ُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala kepujian.

F. Perempuan

Pada Hari Raya semua umat Islam termasuk perempuan yang haid, dituntut meramaikan perhimpunan solat Hari Raya, bertakbir dan berdoa bersama-sama, bagi mendapatkan keberkatan dan kesucian hari itu, walaupun tidak ikut sama bersolat. Perempuan yang berhias atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.

G. Adab Solat Aidilfitri

Mennjamah sedikit makanan terutama tamar sebelum keluar bersolat sunat hari raya. Anas bin Malik menyebut: “Adalah Nabi SAW tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah baginda memakan buah tamar terlebih dulu dengan bilangan yang ganjil (tiga atau lima atau tujuh biji).”

Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid sekiranya tidak terlalu jauh.

Pergi ke masjid menggunakan jalan yang berbeza dengan jalan pulang, agar dapat bertemu dan bermaafan dengan ramai kenalan.

Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.

Bersedekah dan bertahlil secara jemaah selepas solat sunat Aidil Fitri.

Membanyakkan membaca takbir, tasbih, tahmid memuji kebesaran Allah SWT.

Apabila selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri maka digalakkan bersalam-salaman kerana ia adalah cara terbaik memohon keampunan sesama insan.

Apabila hari raya jatuh pada hari Jum’at, maka solat Jum’at menjadi sunnah, boleh diadakan dan boleh tidak tetapi untuk lebih afdal, khariah masjid jami’ sebaiknya tetap mengadakan solat Jum’at.

“Apabila hari raya jatuh pada hari Jum’at, maka solat Jum’at menjadi sunnah, boleh diadakan dan boleh tidak tetapi untuk lebih afdal, khariah masjid jami’ sebaiknya tetap mengadakan solat Jum’at”

assalamualaikum ustaz! berpandukan petikan di atas, saya keliru dengan keterangan tersebut. Apabila hari jumaat, adakah solat fardu jumaat jadi sunat sahaja kerana 1 syawal.

وَعَلَيْكُمْ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ الله ِوَبَرَكَاتُه

Persoalan ini berkaitan dengan sifat mulia Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Solat Jumaat bermaksud perhimpunan mingguan orang ramai untuk menunaikan solat. Maka solat Hari Raya yang dilakukan telah mencakupi maksud tersebut terutama bagi penduduk berkariah kecil yang tidak cukup 40 makmum bermukim.

Oleh demikian, Solat Sunat Hari Raya adalah memadai bagi mereka dan tidak dituntut menunaikan Solat Jumaat, cuma perlu menunaikan solat fardhu Zuhur sahaja. Tapi bagi masjid jami’(besar) adalah lebih afdal diadakan Solat Jumaat juga.

Muawiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam ra: Pernahkah kamu meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiyah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan Hari Raya (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan / keringanan) dalam Solat Jumaat dengan bersabda: “Sesiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.” [HR. Al-Khamsah, kecuali At Tirmizi. Hadis ini dinilai oleh ramai ulama '].

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda : “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat.” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih].

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab

About these ads

Perihal Sifuli

Bicara tentang makan minum, tidur baring, dan beranak pinak yang membina adat resam untuk kehidupan rohani, jasmani, jiwa dan raga. Diantara weblog Sifuli yang popular adalah seperti berikut: Dukun Asmara bicara tentang beranak pinak. Hipnotis Sifuli bicara tentang tidur baring. Jalan Akhirat bicara tentang adat resam (agama) Doa Ayat dan Zikir untuk rohani jasmani jiwa dan raga. Jika tak suka sekali pun janganlah tinggalkan komentar yang keterlaluan. Kerana segalanya adalah sekadar ilmu pengetahuan. Wasalam.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s