Menyambut kepulangan jemaah haji

MENYAMBUT KEPULANGAN JEMAAH HAJI

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata’ala di dunia mahupun di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kini jemaah haji telah pun selesai mengerjakan ibadat haji, kita berdoa semoga para jemaah haji beroleh haji yang mabrur dan amalan mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan seterusnya kembali ke tanahair dengan selamat, insya’ Allah.

Tidak dinafikan pada masa ini, kaum keluarga dan sanak saudara jemaah haji yang berada di tanah air sudah setentunya telah merancang untuk membuat persiapan bagi menyambut kepulangan ahli keluarga mereka yang akan pulang ke tanahair dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, namun dalam kesibukan membuat persediaan menyambut ketibaan dhuyufur rahman (tetamu Allah) itu, kita hendaklah sentiasa beringat supaya sambutan yang diadakan ini nanti tidak bertentangan dengan hukum agama kita. Perlu kita fahami bahawa sambutan tersebut diadakan adalah sebagai menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana para jemaah haji telah selesai mengerjakan ibadat haji serta diatas kepulangan mereka dari Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah. Oleh yang demikian kita bolehlah mengadakannya secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing dan elakkanlah dari berbelanja berlebih-lebihan kerana agama Islam melarang umatnya dari melakukan pembaziran.

Sebagaimana kelaziman orang kita di Brunei, apabila menyambut kepulangan jemaah haji akan mendirikan pintu-pintu gerbang dan kain rentang yang mengandungi perkataan “Semoga Beroleh Haji Yang Mabrur” dan ada pula dengan perkataan “Selamat Pulang Ke Tanah Air” dan sebagainya, ada juga yang meraikannya dengan mengadakan majlis dikir marhaban. Perbuatan sedemikian tidak menjadi kesalahan selagi niat semata-mata untuk memuliakan dan menghormati kedatangan orang-orang haji tersebut serta menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau riya. Apa yang penting janganlah menganggap perkara tersebut suatu kewajipan yang mesti dilakukan sehingga membebankan.

Kalau dahulunya orang menyambut ketibaan jemaah haji yang sampai di rumah dengan taburan beras kuning dan wang syiling serta menghamparkan kain untuk laluan jemaah haji yang pulang, namun Alhamdulillah amalan tersebut tidak lagi dilakukan. Ini jelas membuktikan betapa orang-orang kita Brunei sudah menyedari dan mengetahui amalan-amalan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka, apatah lagi amalan tersebut hanya membawa kepada perbuatan dosa bila mana orang-orang yang dating meraikan ketibaan jemaah haji itu berebut-rebut dan bercampur di antara lelaki dan perempuan tanpa mengira muhrim atau bukan muhrim demi untuk mendapatkan wang syiling, kain dan sebagainya dengan kepercayaan untuk memperolehi berkat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam telah mengajarkan adab-adab yang digalakkan untuk melakukannya ketika menyambut kepulangan jemaah haji, antaranya kita disunatkan untuk bersalaman dan berjabat tangan serta berpelukan sambil mengucapkan yang maksudnya : ‘Semoga Allah menerima ibadat haji engkau dan mengampunkan dosa engkau serta menggantikannya perbelanjaan yang telah engkau keluarkan’.

Dalam perkara bersalaman dan berpelukan itu, perlulah diingat bahawa hendaklah di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan sahaja atau sama muhrimnya sahaja. Selain dari itu, adalah elok juga bagi mereka yang menyambut ketibaan orang haji itu meminta doakan kepada orang-orang yang baru balik haji kerana doa mereka adalah mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

“Dari Ibnu Umar Radiallahuanhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila engkau bertemu orang haji (yang baru balik haji) maka bersalamlah dengannya dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sebelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan Allah Ta’ala (doanya adalah dimakbulkan)” – Riwayat Al-Imam Ahmad

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga ada mengajarkan supaya orang-orang haji itu sendiri apabila ia hendak sampai ke rumah, sunat baginya untuk singgah ke masjid terlebih dahulu dan melakukan sembahyang sunat dua rakaat. Dan apabila sampai ke rumahnya pula, dia bersembahyang lagi dua rakaat dan berdoa serta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas selamatnya dia kembali ke pangkuan kaum keluarganya.

Demikianlah wahai kaum Muslimin di antara beberapa amalan dan adab bagi orang yang balik dari menunaikan ibadat haji dan orang yang menyambut kedatangan mereka, maka ikutlah panduan tersebut dan janganlah melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam semata-mata hanya untuk mengikut kebiasaan dan adat resam. Janganlah sampai kita melakukan perkara-perkara yang dianggap bidaah sayyiah atau bidaah dhalalah, yang boleh menyebabkan kita masuk neraka, Na’uzubilllahi min zalik.

Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga jemaah haji khususnya jemaah haji Negara Brunei Darussalam mendapat haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31 tafsirnya :

“Katakanlah wahai Muhammad, jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi”.

About these ads

Perihal pakcikli00

Saya adalah dukun asmara
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s